Kembang luaskan penerapan program insaniah, kemasyarakatan





Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor/ Morshidi, Azmah Haji Ahad, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Alishahrin Haji Mumin

 





BERAKAS, Isnin, 22 April. – Kebanyakan institusi pengajian tinggi tempatan telah menerapkan program insaniah dan kemasyarakatan dalam aktiviti kokurikulum pelajar bagi meningkatkan kecerdasan rohani dan fizikal pelajar.

 

Inisiatif ini pada hemat beta, adalah perlu untuk diteruskan dan dikembangluaskan lagi dalam menggalakkan dan membudayakan sikap prihatin dan pemedulian.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

 

“Pelaksanaan program insaniah dan kemasyarakatan ini hendaknya tidaklah terhad kepada satu bidang sahaja, iaitu program membantu golongan yang memerlukan yang sering kita dengar dan saksikan.

 

“Di sana terdapat banyak lagi bidang yang perlu diteroka dan perkembangkan, misalnya bidang keagamaan, keusahawanan, teknologi, kebudayaan, sukan dan alam sekitar," tegas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

 

Menurut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, tahun demi tahun, kita menyaksikan ribuan para graduan tempatan telah dilahirkan, sama ada melalui institusi-institusi pengajian tempatan mahupun luar negara. Negara sangatlah gembira dan berbangga memiliki generasi yang mampu menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran.

 

“Inilah antara hasrat Wawasan Brunei 2035 iaitu supaya negara berhasil melahirkan rakyat yang berpendidikan dan sekali gus berkemahiran tinggi. Jika ini benar-benar berhasil dicapai, maka itulah jawapan untuk merujuk kepada negara dan masyarakat 'maju'," ujar titah baginda lagi.

 

Terdahulu dalam titah Kebawah DYMM menyatakan, dalam masa kita bersuka ria menyambut Aidilfitri, kita hendaknya tidak melupakan nasib sebilangan umat Islam yang ditimpa musibah dan kesengsaraan, seperti umat Islam di bumi Palestin.

 

“Sebagai orang Islam yang beriman, kita patut memberi perhatian kepada sabda Rasullulllah Sallallahu 'Alaihi Wasallam riwayat al-Bukhari maksudnya, “Bahawa tidak sempurna iman seseorang kecuali dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri".

 

“Sekurang-kurangnya kita mesti mendoakan mereka. Doa hanya sekecil-kecil ikhtiar untuk membantu saudara-saudara seagama, namun ia mustahak sebagai sifatnya 'senjata' bagi orang-orang yang beriman," tambah titah Kebawah DYMM.

 

Menyentuh mengenai sikap prihatin, baginda bertitah menyambut baik tema sambutan Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada tahun ini, yang menekankan dua nilai kemanusiaan iaitu 'Pemedulian dan Prihatin' yang memang sudah menjadi darah daging kepada kita orang-orang Brunei, selaku warisan turun-temurun dari nenek moyang.

 

Bahkan, Kebawah DYMM bangga dengan penglibatan para belia kita melaksanakan pelbagai inisiatif kesukarelawan seperti membantu golongan yang memerlukan di negara sendiri sehingga ke luar negara, misalnya mengumpulkan sumbangan dan pengendalian ke bumi Palestin. Beta ucapkan syabas kepada mereka.

 

Dalam pada itu, baginda gembira mengalu-alukan kehadiran penuntut-penuntut daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan yang dianggap mewakili semua rakan pelajar lain yang sama-sama terlibat melaksanakan aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan. Amatlah sesuai mereka ini diketengahkan sebagai peserta dalam sambutan tahun ini.

 

Close